Thursday, August 20, 2009

Pembebasan Wanita?


Sebenarnya kitab ini sudah didiskusikan ketika program akhawat N. Sembilan di sini. Program yang berlangsung selama dua hari ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti. Hari pertama dipenuhi dengan jaulah ke maqam-maqam para auliyak di sekitar Kaherah. Jumlah maqam yang sempat kami ziarah lebih kurang tiga puluh tiga yang ada dalam catatan saya.

Pada hari kedua, barulah diadakan aktiviti di dalam dewan. Selepas perasmian pagi itu, kami mulakan dengan sedikit talkshow dan perbincangan mengenai Sister In Islam. Alhamdulllah, sambutannya amat menggalakkan. Petangnya pula, kami diskusikan kitab kecil ini, PEMBEBASAN WANITA : DARIPADA SIAPA? DAN UNTUK APA? Kitab ini adalah karangan Dr. Shauqi Abu Khalil keluaran Dar Al-Fikr, Damsyik, Syria cetakan 1998. Kitab kecil ini juga disertakan sama tajuk berbahasa Inggeris : LIBERATING WOMAN : FROM WHOM? AND WHY?

Banyak yang menarik dibincangkan oleh penulis dalam kitab sekecil ini. Antaranya, penulis menceritakan, antara negara yang memberikan sepenuh kebebasan kepada wanita adalah SWEDEN. Sehinggakan kepada falsafah pendidikan juga mereka bebas terutamanya dalam membentuk anak-anak menjadi lelaki mahupun wanita tanpa mengambil kira jantina anak tersebut.

Kebebasan di sana juga meliputi hal kehamilan. Menurut penulis, wanita-wanita di sana tidak mahu hilang kebebasan dengan sebab kehamilan juga tidak mahu bentuk fizikal mereka berubah bentuk. Mereka cuma mahukan anak yang sedia ada tanpa melalui kepayahan mengandung dan melahirkan. Bahkan jika mereka mahukan anak sekalipun, orang lain akan diupah untuk mengandungkan zuriat mereka. Dengan sebab ini, nasab keturunan mereka di sana sudah menjadi ikan, susu, asam jawa dan sebagainya.



SWEDEN juga adalah negara yang memegang kepada falsafah Plato yang mana negara seolah-olah menjadi ibu kepada anak-anak yang dilahirkan tadi tanpa melihat kepada sijil kelahiran anak tersebut sama ada lahir dari perkahwinan yang sah atau tidak. Bahkan ibu yang melahirkan anak ini dimaafkan dari sebarang perbelanjaan. Sebaliknya kerajaan sendiri yang akan memberi elaun setiap bulan kepada ibu-ibu ini dari saat melahirkan sehinggalah anak tadi berusia enam belas tahun.

Sweden adalah negara yang prihatin terhadap rakyatnya supaya dapat hidup dalam keadaan aman, mewah dan penuh kenikmatan. Sehinggakan kerajaan negara ini menganugerahkan kebebasan mengadakan mogok lapar di bawah perlindungan undang-ndang bagi setiap individu. Penghuni penjara di sana seolah-olah menyerupai kedudukan pengunjung hotel. Di sana mereka bukan sahaja diberikan makanan dan minuman, gaji atas pekerjaan yang mereka lakukan di penjara. Bahkan mereka juga diberi hak berjumpa penziarah sekali seminggu untuk tempoh enam jam. Mereka juga diberikan hak bercuti selama 48 jam setiap bulan yang boleh dihabiskan bersama-sama isteri dan keluarga, kemudian kembali semula ke penjara setelah habis bercuti.

Bersambung ...

Membaca sebahagian daripada kitab kecil ini membuatkan saya beristighfar berkali-kali mengenangkan keadaan manusia yang tiada pegangan ini menikmati hidup. Walau apa pun, saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai Muslim.

Sekalipun agak terlewat untuk saya sama kongsikan nilai kitab kecil ini, namun saya harapkan sedikit isi yang saya coretkan di sini memberi manfaat kepada anda yang bertandang. Mudah-mudahan kita diberi sepenuhnya kefahaman, wanita ini perlu dibebaskan daipada apa dan dari siapa agar fahaman kita tidak terarah ke isme-isme yang merosakkan akidah.

Insya ALLAH, sambungan coretan ini akan saya sambung di lain kali. Masih ada lagi luahan dan pandangan penulis yang belum saya naqalkan sepenuhnya. Selamat meneruskan ibadah puasa di bulan Ramadhan ini. Ramadhan Kareem...

Siiru `Ala Barakatillah ...