Thursday, August 20, 2009

Ahlan Ya Ramadhan


Lama rasanya teratak ini bersawang. Lebih setahun saya biarkan ia. Namun hari ini, saya rasa ingin menconteng seketika di sini. Tambahan pula selepas dikhabarkan berkenaan natijah imtihan baru ini. Walau apa pun, saya tetap bersyukur.

Gambar di atas merupakan sedikit gambaran Maidah Ar-Rahman yang biasanya hanya ada ketika ramadhan sahaja di sini. Masing-masing menyediakan tempat untuk berbuka puasa. Pernah seketika dahulu saya dalam perjalanan pulang ke Mansurah. Disebabkan ada keuzuran, saya bergerak agak lewat dari Kaherah. Di bulan puasa ini, jika anda bergerak dari Kaherah ke mana-mana destinasi selepas Asar, anda tidak akan sampai ke tempat yang dituju seperti mana bulan-bulan lain. Kebiasaanya akan tiba lebih lewat dari waktu yang sebenarnya. Kembali kepada cerita saya tadi, dalam perjalanan pulang ke Mansurah azan maghrib berkumandang di pertengahan jalan. Mujur juga ketika itu, kami sudah siapkan bekalan berbuka iaitu sedikit kurma dan jus buah-buahan di dalam kotak. Ketika azan berkumandang, penumpang yang lain juga sibuk berbuka. Penjual-penjual makanan di pertengahan jalan, sibuk mengagihkan makanan berbuka untuk mereka yang masih dalam perjalanan. Pada ketika kenderaan memperlahankan kenderaan (kerana ada bumper jalan) ketika inilah mereka menguhulurkan makanan tersebut melalui tingkap kenderaan tanpa kenderaan yang kami naiki itu berhenti. Keadaan yang sama juga berlaku pada kenderaan-kenderaan lain. Alhamdulillah.. ada rezeki kami petang itu.


Gambar ini pula sekadar hiasan sahaja. Pada hari penentuan puasa, biasanya di Malaysia (terutama di N. Sembilan) adalah diistilahkan sebagai "hari mantai". Suasananya seperti hendak beraya. Ada yang membakar lemang, membuat rendang daging atau ayam dan ada juga yang menyembelih lembu. Berbeza pula dengan budaya arab Mesir.

Di pertengahan Syaaban, sudah ada gerai-gerai di buka untuk menjual lampu-lampu Ramdhan yang di panggil "fanus". Lampu ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk, kecil mahupun yang besar. Ada juga antara pemilik-pemilik kedai yang telah siap membungkuskan makanan-makanan yang akan diagihkan kepada fakir-fakir miskin di sini.

Walau apa pun budaya bangsa masing-masing menyambut Ramadhan, kebanyakannya tidak lari dari ajaran Islam. Budaya bersedekah dan beramal ibadat bukan hanya tertumpu pada bulan yang mulia ini. Bahkan sebaiknya ia dikekalkan sepanjang hayat kita.

Buat akhirnya, bersama kita membetulkan mind set. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadi noktah bidayah kita meneruskan semua budaya mahmudah yang ada untuk sepanjang tahun. Selamat Menyambut Ramadhan. Siiru `Ala Barakatillah...

RAMADHAN KAREEM.