Tuesday, February 23, 2010

Menyingkap Sirah Junjungan


Selawat dan salam buat junjungan besar kekasih Allah, Muhammad SAW.

Pagi ini seperti hari-hari lain, kelas pagi di pejabat ini berjalan seperti biasa. Terasa macam mengikuti usrah dulu, pengisian khas untuk jiwa. Hari ini, kelas sirah pula. Perbincangan pagi ini berkisar kehidupan baginda bersama datuknya dan bapa saudaranya.

Di dalam buku yang menjadi rujukan kelas pagi ini, Riwayat Rasulullah SAW - Sejarah & Perjalanan Hidup Nabi Muhammad SAW [Edisi Lengkap] oleh Maulana Syed Abul Hasan Ali An Nadwi ada ditimbulkan persoalan sejauh mana kesusahan Abu Talib dan bebanan yang ditanggung beliau ketika menjaga dan memelihara Nabi Muhammad SAW. Persoalan ini ditimbulkan penulis kerana di situ ada dinyatakan umur Abdul Mutalib ketika meninggal dunia (80 tahun), umur Rasulullah SAW semasa datuk baginda meninggal (8 tahun) dan umur Abu Talib ketika mengambil alih menjaga Nabi Muhammad (37 tahun). Tambahan pula jarak umur Rasulullah SAW dengan Saidina Ali (anak Abu Talib) adalah 32 tahun. Sudah tentulah pada ketika Abu Talib memelihara Nabi Muhammad SAW, Saidina Ali belum lagi dilahirkan.

Di dalam kitab tersebut juga, anak-anak Abu Talib yang lain sepertimana dicatatkan dalam kitab-kitab sejarah, empat anak lelaki (Talib, Aqil, Jaafar, Ali) dan dua anak perempuan (Ummu Hani & Hamamah). Saidina Jaafar bin Abu Talib pula tua sepuluh tahun dari Saidina Ali bin Abu Talib. Sudah tentu beliau juga masih belum ada kerana jarak umur beliau dengan Nabi Muhammad SAW 22 tahun. Begitu juga dengan Aqil bin Abu Talib yang lebih muda dua belas tahun dari Rasulullah SAW. Sudah tentu Aqil juga belum ada ketika Abu Talib mengambil alih memelihara Rasulullah SAW. Hanya yang ada ketika itu, adalah Talib sahaja kerana Talib dilahirkan pada ketika Abu Talib berusia 30 tahun.

Penulis buku ini menimbulkan persoalan sebelum akhir bab ini, "Kalau begitu siapakah anak-anak Abu Talib yang ramai ketika Nabi di ambil oleh Abu Talib untuk dipeliharanya sebagaimana dinyatakan dalam kisah-kisah yang selalu kita dengar itu?".

Kesimpulan yang dibuat penulis di akhir bab ini, penulis menyatakan mungkin di sana ada lagi anak-anak Abu Talib selain dari enam orang yang dicatatkan ahli sejarah ini yang berkemungkinan namanya tidak disebutkan. Bagaimanapun, penulis percaya yang Abu Talib semakin merasa berat memelihara anak-anaknya setalah Rasulullah SAW tinggal lama di rumahnya iaitu setelah beberapa orang anaknya lahir dan membesar.

Ini sebahagian dari rentetan sirah hidup seorang kekasih Allah. Mencintai Allah, bermakna mencintai kecintaan-Nya. Mencintai kecintaan-Nya bermakna mencontohi keperibadian serta kehidupannya yang dinamakan sunnah. Mengikuti sunnah, beerti merealisasikan sifat peribadi Muslim sebenar.

Mari kita sama-sama tadabbur sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan perbanyakkan selawat ke atas baginda. Bersama juga menghidupkan sunnah-sunnah baginda...

صلى الله على محمد و صلى الله عليه وسلم

Siiru `Ala Barakatillah ...